SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, dua Ahli Parlimen negara itu, Tan Chuan-Jin dan Cheng Li Hui terus menjalin "hubungan yang tidak sesuai" meskipun sudah diberitahu untuk meletakkan jawatan.

Dalam sidang media semalam, Hsien Loong mendedahkan beliau pernah bercakap mengenai hubungan terlarang yang dijalinkan Chuan-Jin sekitar Februari lalu.

Chuan-Jin mengakui kesilapan dilakukannya dan menawarkan peletakan jawatan pada masa itu.
Hsien Loong berkata, beliau ada dimaklumkan mengenai hubungan dua ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu pada sekitar tahun 2020.


"Saya tidak tahu bagaimana permulaannya (hubungan itu), namun, mereka berdua sudah dinasihatkan (tidak meneruskan hubungan).

“Namun begitu, masalah itu tidak berakhir sehinggalah kepada perbincangan serius diadakan pada Februari lalu,” kata Hsien Loong.

Selepas perbincangan pada Februari, Perdana Menteri menerima peletakan jawatan Chuan-Jin

“Saya juga ada memberitahunya, pastikan kebajikan penduduk di Kembangan-Chai Chee dan Marine Parade diteruskan,” ujar beliau lagi.

“Dalam masa sama, hubungan dengan Li Hui perlu dihentikan.”

Bagaimanapun, dalam tempoh ‘baru-baru ini’ Hsien Loong telah ‘diyakinkan’ bahawa hubungan Chuan-Jin dan Li Hui terus terjalin.

Chuan-Jin yang juga Speaker Parlimen berusia 54 tahun sudah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata, sementara, Li Hui pula, 47, masih bujang.

Kedua-dua mereka telah meletakkan jawatan serta-merta pada semalam (Isnin) dan berita itu disahkan oleh Perdana Menteri Hsien Loong.

"Peletakkan jawatan adalah perlu, bagi mengekalkan standard kewajaran dan kelakuan peribadi yang tinggi yang dipertahankan PAP selama ini," kata Hsien Loong. - Agensi